Berbagai ragam dan situasi muncul di hari pertama kelas Anjung Afektif 2010 semalam. Hampir semua anak-anak dihantar oleh kaum ibu masing-masing. Wajah bersih anak-anak bercampur dengan rasa takut dan bimbang mewarnai kelas kami. Tangan ibu masing-masing dipegang erat.
"Abah mana? Nak abah... Nak abah..."
Suara lembut bercampur manja diselang-seli dengan tangisan yang semakin kendur. Ekor mata manja menjeling memandang cikgu. Sekejap sahaja. Terus sahaja muka disembamkan ke dakapan ibu.
Di luar kelas, beberapa orang anak-anak masih perlu dipujuk untuk memasuki kelas. Suara pujukan dan tangisan berselang seli mengetuk gendang telinga orang-orang sekeliling. Wajah-wajah cemas bercantum antara ibu dan anak. Ibu cemas kalau-kalau anak terus-terusan tak mahu masuk kelas. Anak pula cemas kalau-kalau ibu akan berlalu pulang meninggalkan diri bersama orang yang tidak dikenali.
"Abah mana? Kenapa abah tak datang?" Si ibu hanya tersenyum. Beberapa orang ibu di sekeliling juga sama tersenyum. Si anak sudah berhenti menangis tetapi masih menyorokkan muka dalam dakapan ibu.
Menjelang jam 9.30 pagi, anak-anak kelihatan tenang dan dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru. Proses P&P mula dijalankan untuk anak-anak walau pun pada hari pertama ini.
"Cikguuuuu. Nak dukung!" "Cikguuuuu. Nak dukung!" Tiba-tiba kelas disentak dengan suara kecil.
"Hah? Mana boleh. Dalam perut cikgu ada baby!" Kata cikgu sambil mengambil tangan anak itu dan diletakkan ke perut cikgu. Anak itu terus berpaling ke arah PPM. "Ibu nak dukung!!"
PPM yang masih single terkejut sambil berkata, "Cikgu pun ada baby juga!" Berbohong untuk berdalih. Ha ha ha.....
Selamat datang semua serta terima kasih kepada ibu bapa penjaga yang hadir dan memberikan kerjasama yang sangat baik.